batang-kali-town

 

 

                                         

 

Batang Kali dahulunya adalah sebuah pekan adalah sebuah pekan kecil yang terletak di daerah Hulu Selangor. Nama Batang Kali asalnya diambil dari nama Sungai Batang Kali. Mengikut tafsiran bahasa Melayu, batang bermaksud batang kayu, manakala kali pula bermaksud anak sungai, maka maksudnya ialah batang kayu anak sungai. Batang Kali dahulunya adalah sebuah tempat yang kaya dengan hasil bumi seperti bijih timah. Kampung Batang Kali wujud setelah bijih timah dijumpai pada kurun ke 19. Mengikut The Tin Resources of The British empire, Batang Kali, Serendah, Rawang, Kalumpang serta Kuala Kubu Bharu tergolong sebagai kawasan yang kaya dengan hasil bijih timah sejak awal kurun ke-20.

Batang Kali bukan sahaja masyhur dengan aktiviti perlombongan bijih timah, malahan aktiviti penanaman pokok getah juga telah banyak membantu memesatkan pekan Batang Kali sehinggalah meletusnya peperangan Dunia Kedua. Dahulunya, sebahagian dari kawasan Batang Kali diliputi oleh Hutan dan Pokok getah, kini Batang Kali semakin maju dibangunkan dengan deretan-deretan kedai, pasaraya, Masjid Besar, sekolah-sekolah serta taman rekreasi sehinggalah rumah berkos tinggi  seiring dengan perkembangan ekonomi dan jumlah penduduk setempat. ini kerana tempatnya yang agak strategik dan nyaman jika dibandingkan dengan kawasan yang lain. 

Batang Kali meliputi kawasan Perumahan dari Kampung Bukit Chandang, Kampung Menyorok, Kampung Sekolah, Taman Seri Cahaya, Kampung Sentosa, Taman Seri Batang Kali, Taman Wawasan, Taman Semarak, Bandar Baru Ligamas, Tamu Hill Park, Kampung Sungai Masin, Taman Desa Jaya, Taman Genting Permai, Kampung Genting Malik, Desa Alam Ria, Kampung Kuantan sehinggalah ke Ulu Rening.